Ryt Bank rekod 1.2 juta pengguna dalam tujuh bulan

Ryt Bank rekod 1.2 juta pengguna dalam tujuh bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ryt Bank mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bank digital terpantas berkembang di negara ini selepas berjaya melepasi angka 1.2 juta pengguna dalam tempoh hanya tujuh bulan sejak pelancarannya pada Ogos 2025.

Pencapaian memberangsangkan itu mencerminkan peralihan drastik rakyat Malaysia ke arah perbankan digital yang lebih fleksibel, dengan merekodkan lebih 25 juta transaksi keseluruhan serta peningkatan transaksi bulanan melebihi 35 kali ganda.

Ketua Pegawai Eksekutif interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, momentum tersebut menunjukkan rakyat Malaysia kini semakin terbuka kepada cara perbankan yang lebih intuitif dan berpaksikan keperluan harian.

“Fokus kami bukan sekadar jumlah pendaftaran, tetapi bagaimana pelanggan terus kembali menggunakan Ryt Bank untuk berbelanja, menyimpan dan mengurus kewangan mereka.

“Kami kekal komited menyokong keterangkuman kewangan dengan menjadikan perkhidmatan perbankan harian lebih mudah diakses, khususnya bagi segmen yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan daripada institusi tradisional,” katanya dalam kenyataan.

Salah satu pemacu utama pertumbuhan tersebut adalah ciri Ryt AI yang dibangunkan bersama YTL AI Labs, di mana hampir separuh daripada pengguna telah memanfaatkan teknologi itu untuk melakukan pemindahan wang dan pembayaran bil secara interaktif.

Menariknya, penggunaan Ryt AI merentasi pelbagai peringkat umur termasuk golongan berusia 50 tahun ke atas, sekali gus membuktikan teknologi tersebut memudahkan pengalaman perbankan untuk semua lapisan masyarakat.

Selain itu, kemudahan Ryt PayLater yang menawarkan kredit segera sehingga RM1,499 turut menjadi pilihan popular pelanggan terutamanya untuk mengurus aliran tunai bagi keperluan asas seperti barangan runcit, petrol dan bil.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Ryt Bank bakal memperkenalkan ciri ‘Ryt PayLater pada Kad’ dalam beberapa minggu akan datang bagi membolehkan pengguna memilih mod pembayaran secara terus pada kad fizikal.

Bank digital tersebut juga akan melancarkan ‘Ryt Invest’, sebuah platform pelaburan terus dalam aplikasi bagi membantu pengguna mengembangkan simpanan mereka dengan lebih efisien dalam satu ekosistem yang sama.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN