GERIK: Seekor gajah liar yang memasuki kawasan kampung dan memusnahkan tanaman penduduk ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Rabu lalu.
Difahamkan, mamalia dipercayai dari hutan simpan berdekatan itu terpisah daripada kawanan dan mula dikesan menghampiri penempatan penduduk di Kampung Plang dekat sini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah betina berusia 40 tahun dengan anggaran berat 3.2 tan itu ditangkap di kawasan kebun getah di kampung berkenaan.
Katanya, operasi menjejaki mamalia oleh Unit Tindakan Gajah Negeri (UTG) Perak itu dijalankan sejak Selasa lalu selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Kita terima aduan mengenai kehadiran seekor gajah betina dinamakan Yong Cimot di mana mamalia itu telah masuk ke kawasan kampung dan kebun lalu merosakkan tanaman penduduk.
“Difahamkan, anggaran kerosakan tanaman disebabkan gajah tersebut berjumlah RM15,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua ekor gajah denak iaitu Alam dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah digunakan bagi ‘memujuk dan menenangkan’ Yong Cimot untuk dibawa ke lokasi seterusnya.
Katanya, gajah berkenaan akan dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka di Terengganu.
“Operasi itu disertai lebih 25 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan Perhilitan Perak,” katanya.










