JOHOR BAHRU: Keselamatan penggiat ekonomi gig termasuk pemandu e-hailing perlu ditambah baik susulan peningkatan insiden membabitkan keselamatan golongan berkenaan, sejak kebelakangan ini.
Bendahari Persatuan Ekonomi GiG Johor (PEGJ), Jaferi Hisham berkata, aspek keselamatan penggiat ekonomi gig perlu diberi perhatian lebih menyeluruh memandangkan golongan itu berinteraksi dengan masyarakat termasuk warga asing setiap hari.
Katanya, insiden menimpa Goh Kong Meng yang dicederakan penumpang warga asing ketika menyediakan perkhidmatan e-hailing tidak boleh dipandang ringan.
“Perkara ini memerlukan komitmen semua pihak untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas dalam keadaan yang selamat. Penggiat ekonomi gig memainkan peranan penting dalam menyokong mobiliti rakyat, pertumbuhan ekonomi digital serta kelangsungan pelbagai perkhidmatan harian masyarakat.
“Namun golongan ini turut berdepan pelbagai risiko keselamatan memandangkan mereka berinteraksi secara langsung dengan orang awam dalam pelbagai situasi dan persekitaran.
“Sehubungan itu, sebarang bentuk keganasan, ugutan atau serangan terhadap pemandu dan penghantar yang sedang menjalankan tugas tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Jaferi, pihaknya akan terus memperjuangkan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan penggiat ekonomi gig.
“Kami juga komited memperkukuh kerjasama dengan kerajaan, agensi berkaitan, pemain industri dan masyarakat bagi mewujudkan ekosistem ekonomi gig yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Jaferi turut memaklumkan pihaknya mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon mengadakan lawatan terhadap Kong Meng yang mengalami kecederaan pada leher, mata kiri dan bahagian belakang badan.
Mangsa diserang penumpang warga asing ketika sedang memandu di Taman Sri Yaacob, Skudai, di sini, Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya sedang memburu tiga suspek lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dengan insiden berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh hubungi talian 07-5113622 atau 07-5114486 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










