GEORGE TOWN : Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi jaminan akan memantau rapat kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram dalam usaha melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, ketika ini juga, beberapa operasi penguatkuasaan telah digerakkan bagi menangani isu peniaga asing yang menyalahgunakan kemudahan visa serta menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.
Katanya, operasi penguatkuasaan itu melibatkan pelbagai agensi atau jabatan termasuk polis, kastam, imigresen, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
”MITI mengalu-alukan semua pelabur yang sah dan mematuhi undang-undang di Malaysia. Namun, kami juga menerima aduan daripada pemain industri mengenai aktiviti perniagaan haram yang menjejaskan perniagaan tempatan.
”Dalam hal ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mendengar suara komuniti perniagaan dan mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan secara besar-besaran diambil terhadap aktiviti haram tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog anjuran Penang Chinese Chambers of Commerce (PCCC) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan mahu semua kementerian dan agensi membanteras segala aktiviti perniagaan haram oleh warga asing di negara ini termasuk penyalahgunaan visa serta lesen perniagaan tempatan dan beliau juga mahu usaha itu dibuat secara menyeluruh.
Sementara itu, Tze Tzin berkata, kewujudan perniagaan haram telah menyebabkan berlakunya persaingan tidak adil kerana mereka tidak menanggung kos operasi, membayar cukai dan sebagainya berbanding peniaga tempatan.
Justeru, beliau berharap, dengan adanya tindakan tindakan penguatkuasaan berterusan, PMKS dapat terus bertahan serta berkembang dalam persekitaran perniagaan yang lebih saksama.
Tambah Tze Tzin, kerajaan juga tidak pernah mendiskriminasi mana-mana negara kerana apa yang dilakukan ketika ini hanya untuk memastikan bahawa undang-undang Malaysia dikuatkuasakan daripada sebarang aktiviti perniagaan yang tidak sah.-UTUSAN










