IPOH: Pembinaan Seksyen 11 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Beruas hingga ke Persimpangan Taiping Selatan mengalami kelewatan daripada masa yang diperuntukan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sehingga 25 Julai lalu, peratusan kemajuan sebenar kerja pembinaan di Seksyen 11 adalah 51.55 peratus berbanding jadual sepatutnya iaitu 99.30 peratus.
Menurut Mohd. Zolkafly, kerja-kerja pembinaan melibatkan kerja tanah, letupan batu, pembinaan struktur dan jambatan, perparitan, cerun dan lain lain sedang dijalankan di jajaran sepanjang 35.5 kilometer itu.
“Walaupun kerja-kerja pembinaan dibenar untuk diteruskan, tetapi terdapat kekangan besar terhadap bekalan bahan binaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Jamilah Zakaria pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.
Mohd. Zolkafly berkata, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) punca utama kelewatan pembinaan di Seksyen 11 adalah disebabkan prestasi kontraktor utama yang tidak memuaskan.
“Bagi menangani isu tersebut, pihak syarikat konsesi iaitu West Coast Expressway Sdn. Bhd. melalui kontraktor EPC telah mengambil alih kerja pembinaan di seksyen tersebut bagi menyiapkan baki kerja pembinaan.
“Kerajaan negeri juga diberi taklimat berkenaan isu ini dan pihak LLM memberi komitmen untuk menyiapkan baki-baki kerja projek ini iaitu 48 peratus lagi mengikut garis masa baharu dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2024,” katanya. – UTUSAN ONLINE