KUANTAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kobat, Taman Impian, Jalan Sungai Lembing di sini ketika menjalankan aktiviti menjaring ikan bersama rakannya pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, dipercayai berada di atas sebuah bot sebelum terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 10.23 pagi. Rakannya, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24, bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa lelaki warga tempatan sedang melakukan aktiviti menjaring ikan menggunakan bot sebelum seorang daripada mereka terjatuh ke dalam sungai dan disyaki lemas.
“Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN










