Perawat tradisional didakwa hina Agong

Perawat tradisional didakwa hina Agong

RADEN Mohd. Azrul Amirulla yang berdepan dakwaan memuat naik hantaran berunsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang perawat perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran berunsur hasutan dan penghinaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong di Facebook, Disember tahun lalu.

Tertuduh, Raden Mohd. Azrul Amirullla, 36, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan hantaran menghasut di akaun Facebook miliknya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pada pukul 2.30 petang, 23 Disember 2025.

Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd. Shariff mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Farhanna Roslan memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memperoleh pendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan sebagai perawat perubatan tradisional untuk menyara ibunya, isteri dan enam anak.

Mahkamah membenarkan ikat jamin berserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Julai ini.

Suspek dilaporkan memuat naik hantaran yang mempertikai memorandum titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN