Tiada perkampungan Rohingya di Pahang

Tiada perkampungan Rohingya di Pahang

KETUA Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yahaya Othman selepas perasmian Balai Polis Kuala Krau di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Polis tidak mengesan sebarang bentuk penempatan haram atau ‘perkampungan Rohingya’ hasil pemantauan dan operasi penguatkuasaan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, komuniti itu dipercayai tinggal secara menyewa di rumah kedai, kawasan perumahan atau penempatan biasa seperti warga asing lain.

“Di Pahang ini, nak kata ada penempatan perkampungan itu tidak ada. Tetapi mereka mungkin menyewa di rumah-rumah atau rumah kedai,” katanya selepas merasmikan Balai Polis Kuala Krau di sini hari ini.

Yahaya berkata, polis memahami kebimbangan rakyat terhadap isu kebanjiran warga asing, namun tindakan sentiasa berpandukan undang-undang dan maklumat sahih bagi mengelak persepsi tidak tepat terhadap mana-mana kelompok masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata, polis meningkatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan bersama JIM di seluruh Pahang bagi mengekang kebanjiran warga Rohingya serta sebarang elemen salah laku, jenayah dan ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan rakyat negeri ini.

Langkah itu katanya, susulan kebimbangan masyarakat terhadap kehadiran warga asing terbabit yang didakwa semakin bertambah di beberapa lokasi tertentu sehingga mencetuskan pelbagai rungutan berkaitan isu keselamatan, sosial dan pematuhan undang-undang.

“Walaupun tiada penempatan haram berbentuk ‘perkampungan Rohingya’ dikenal pasti di negeri ini, polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

“Polis kerap menjalankan pemeriksaan dan operasi terutama bersama Jabatan Imigresen di kawasan tertentu termasuk di Kuantan. Kalau ada yang melakukan kesalahan jenayah, kita akan ambil tindakan termasuk mendakwa di mahkamah jika terdapat kesalahan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN