Simpulan crochet terapi minda Irdina Syuhada

Simpulan crochet terapi minda Irdina Syuhada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan keinginan untuk mempelajari teknik mengait, siapa sangka percubaan yang tidak menjadi itu akhirnya menemukan Irdina Syuhada Muazmir dengan seni crochet.

Hobi tersebut kini bukan sahaja menjadi sumber pendapatan sampingan, malah berfungsi sebagai terapi untuk menenangkan fikiran selepas seharian bekerja.

Bagi graduan komunikasi profesional bahasa Inggeris berusia 24 tahun itu, menghasilkan beg crochet bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang.

Sebaliknya, setiap simpulan benang yang dihasilkan menjadi ruang untuknya melepaskan tekanan selepas bekerja.

Dalam masa sama, aktiviti itu membolehkannya menzahirkan kreativiti yang telah lama dipupuk.

Anak muda yang kini bertugas sebagai pempengaruh dalam bidang pemasaran itu mula berjinak-jinak dengan seni crochet pada awal 2024.

Minat tersebut tercetus selepas dia mencari alternatif kepada teknik mengait yang sukar dikuasainya.

“Pada mulanya saya nak belajar mengait sebab nampak dalam satu siri televisyen. Tapi saya tak berjaya belajar teknik itu.

“Bila cari alternatif yang lebih kurang sama, saya jumpa crochet. Dari situ saya mula belajar sendiri dan terus jatuh minat,” katanya kepada Seri.

Menurut Irdina Syuhada, minat terhadap dunia kraf tangan sebenarnya telah lama berputik dalam dirinya.

Sejak kecil lagi, dia gemar menghasilkan pelbagai projek DIY menggunakan tanah liat, kain dan pelbagai bahan kraf lain.

Walaupun tidak begitu berbakat dalam bidang lukisan, dia sentiasa tertarik dengan aktiviti yang memerlukan sentuhan kreativiti.

Malah, ibunya juga mempunyai minat terhadap seni kreatif, terutama dalam aktiviti melukis dan menghasilkan pelbagai projek kraf tangan.

Minat yang dikongsi itu sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungannya terhadap dunia kraftangan.

Bagi menguasai kemahiran crochet, Irdina Syuhada memanfaatkan pelbagai platform media sosial seperti YouTube, TikTok dan Pinterest sebagai sumber pembelajaran.

Melalui platform tersebut, dia bukan sahaja mempelajari teknik asas, malah memperoleh pelbagai idea dan ilham untuk menghasilkan rekaan beg yang unik mengikut cita rasa serta kreativiti sendiri.

Belajar sendiri
Tanpa mengikuti sebarang kelas formal, Irdina Syuhada memilih untuk mempelajari seni crochet secara sendiri menerusi pelbagai video tutorial di media sosial.

Menurutnya, tempoh sekitar dua hingga tiga minggu diperlukan untuk memahami teknik asas sebelum dia berani menghasilkan karya pertamanya.

“Setiap corak saya akan ulang berkali-kali sehingga betul-betul puas hati. Bila dah yakin, barulah saya cuba corak yang lain,” katanya.

Karya pertama yang berjaya dihasilkan ialah sebuah patung lembut berbentuk arnab yang memegang simbol hati.

Hasil tersebut memberikan kepuasan besar buatnya kerana mampu menghasilkan karya yang mempunyai pelbagai warna dan perincian.

 

Tuntut Ketelitian
Kini, Irdina Syuhada lebih banyak menghasilkan beg seperti beg galas kecil, beg tangan dan beg berkonsepkan santai mengikut permintaan pelanggan.

Baginya, proses ini memerlukan ketelitian tinggi pada setiap peringkat bagi memastikan hasil akhir yang kemas, cantik dan tahan lasak.

Proses tersebut bermula dengan pemilihan benang yang sesuai kerana tidak semua jenis kukuh sifatnya.

Menurut Irdina Syuhada, pelanggan sering memberikan gambar inspirasi daripada pembuat crochet luar negara.

Namun, dia akan cuba mencari padanan warna yang paling hampir berdasarkan pilihan benang yang tersedia.

Selepas bahagian utama beg siap, dia akan memasang lapisan dalam (lining) yang dijahit tangan.

Langkah itu penting bagi memastikan bahagian tersebut lebih kemas, tahan lama serta mengelakkan barang-barang kecil terkeluar melalui celahan jahitan.

Tempoh menghasilkan sebuah beg pula bergantung kepada tahap kesukaran reka bentuk yang dipilih.

Beg dengan rekaan ringkas boleh disiapkan dalam tempoh sehari, manakala yang lebih besar serta mempunyai banyak perincian memerlukan masa sekitar empat hingga lima hari.

Tambahnya, bahagian paling mencabar ialah ketika menghasilkan corak rumit, mencantumkan setiap bahagian beg serta memastikan jahitan lining kemas.

Sebelum diserahkan kepada pelanggan, setiap beg diuji terlebih dahulu bagi memastikan ia mampu menampung barang dengan baik dan dalam keadaan sempurna.

Jika hasil yang diperoleh tidak menepati jangkaan, dia tidak teragak-agak untuk mengulang semula proses tersebut.

“Saya akan mencatat bahagian yang silap dalam buku dan cuba buat semula sampai hasil itu menjadi seperti yang dimahukan,” jelasnya.

 

Terapi selepas bekerja
Selain menjadi medium untuk berkarya, crochet turut memberi ketenangan kepada Irdina Syuhada dalam menguruskan tekanan harian.

Menurutnya, aktiviti itu menjadi cara terbaik untuk merehatkan fikiran selepas pulang bekerja, terutama apabila berdepan dengan keletihan dan tekanan sepanjang hari.

“Kalau balik kerja dalam keadaan penat atau stres, saya akan terus crochet. Bila mula mengait, saya rasa macam berada dalam dunia sendiri.

“Saya sudah tidak fikir pasal kerja dan rasa lebih tenang,” katanya.

Kepuasan terbesar hadir apabila melihat hasil tangannya digunakan dan dihargai oleh pelanggan.

Ada pelanggan yang berkongsi gambar dan video menggunakan beg tersebut, malah ada yang membelinya sebagai hadiah kepada insan tersayang.

Katanya, setiap maklum balas positif yang diterima membuatkan segala usaha dan masa yang dicurahkan sepanjang menghasilkan beg berbaloi.

Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga menjadi pendorong untuknya terus berkarya.

Galakan daripada mereka memberikan keyakinan kepada Irdina Syuhada untuk mengembangkan lagi minat tersebut.

Irdina Syuhada mula menjual hasil crochetnya pada penghujung 2024 selepas menerima tempahan daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat yang menjadi pelanggan awalnya.

Kini, beg crochet hasil tangannya dijual pada harga bermula sekitar RM50 bagi rekaan ringkas, manakala reka bentuk yang lebih kompleks boleh mencecah lebih RM100.

Walaupun perlu membahagikan masa antara kerjaya tetap dan perniagaan sampingan, dia sentiasa berusaha memastikan setiap tempahan disiapkan mengikut tempoh dijanjikan.

Baginya, setiap pelanggan yang mempercayai hasil tangannya merupakan satu amanah yang perlu dihargai.

Selepas hampir dua tahun menjalankan perniagaan secara dalam talian, Irdina Syuhada kini mula melangkah lebih jauh dengan menyertai jualan sebagai vendor di beberapa acara fizikal bagi memperkenalkan hasil karyanya kepada lebih ramai orang.

Dia berharap usaha tersebut dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan yang bermula daripada sebuah hobi.

Irdina Syuhada berkata, crochet bukan sekadar aktiviti menghasilkan beg daripada benang. Sebaliknya, hobi tersebut telah membuka peluang untuknya mengenali dunia perniagaan, mengembangkan kreativiti serta mencari ketenangan dalam kehidupan seharian.

“Kalau tidak jumpa crochet, mungkin saya tidak masuk ke dunia bisnes.

“Hobi ini membuatkan saya lebih kreatif, produktif dan jauh daripada perkara-perkara negatif. Sebab itu crochet sangat bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×