Pang Ron-Pei Jing mahu kekal konsisten

Pang Ron-Pei Jing mahu kekal konsisten

HOO Pang Ron-Lai Pei Jing. - IHSAN X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing berharap mampu mengekalkan prestasi terbaik menjelang aksi separuh akhir pada Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Gandingan profesional yang kini menghuni ranking No. 85 dunia itu membenam beregu ke-48 dunia dari Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui 24-22, 21-5 dalam masa 36 minit pada suku akhir, semalam.

Pang Ron berkata, sejak bergandingan dengan Pei Jing, Mei lalu, dia melihat ada sedikit peningkatan terutamanya dalam penampilan mereka di kejohanan berstatus Super 750 itu.

“Perkara yang paling sukar adalah bagaimana untuk mengekalkan prestasi baik ini, kami perlu belajar cara berbuat demikian.

“Tapi kami ada perlawanan, esok, jadi kami tak mahu fikir terlalu jauh tentang masa depan buat masa ini. Kami perlu fokus perlawanan demi perlawanan sekarang,” katanya.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, selepas melakar kemenangan berturut-turut, keyakinannya semakin meningkat dan berharap rentak positif itu akan berterusan.

Kelmarin, Pang Ron-Pei Jing melakar kejutan besar apabila menumbangkan beregu handalan tuan rumah yang menghuni ranking No. 9 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi 24-22, 21-19 di peringkat 16 terbaik.

Sementara itu, Pei Jing pula mengakui penting untuk dia dan Pang Ron memiliki mentaliti yang kuat kerana kejayaan dalam sesebuah perlawanan banyak dipengaruhi daripada faktor tersebut.

“Kami juga perlu mengekalkan permainan agresif dan fokus kepada perlawanan yang diharungi. Saya sangat bangga dengan diri sendiri dan juga pasangan. Harap kami dapat mengekalkan momentum ini untuk perlawanan-perlawanan akan datang,” ujarnya.

Pang Ron-Pei Jing yang membentuk kerjasama sulung pada Malaysia Masters, Mei lalu, bakal berdepan gandingan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian yang merupakan pasangan No. 28 dunia.

Berdasarkan rekod lalu, Pang Ron-Pei Jing belum pernah berkesempatan bertemu Yi Jun-Li Qian sebagai pasangan, tetapi, mereka memiliki pengalaman menentang beregu muda China tersebut sewaktu beraksi bersama gandingan lama masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×