WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menggempur skim ‘pelancongan bersalin’ secara haram yang didakwa membantu warga asing melancong ke AS semata-mata untuk melahirkan anak bagi mendapatkan kewarganegaraan negara itu.
“Tiada warga asing dibenarkan memperoleh visa pelawat bagi tujuan utama mendapatkan kewarganegaraan AS untuk anak mereka dengan melahirkan anak di AS,” menurut kenyataan Jabatan Negara itu menerusi hantaran di platform X semasa mengumumkan operasi penggempuran berkenaan.
Meskipun tindakan melahirkan anak di AS oleh warga asing bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang, pihak berkuasa menegaskan bahawa operasi terbaharu itu menyasarkan penipuan visa.
Ini termasuk pemohon yang memalsukan tujuan perjalanan mereka atau menggunakan rangkaian terancang untuk memasuki negara tersebut secara salah.
“Rangkaian pelancongan bersalin’haram ini mengenakan bayaran berpuluh-puluh ribu dolar dan melatih individu terbabit untuk melakukan penipuan visa dengan berbohong kepada pegawai konsular kami,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott menerusi hantaran di X pada Sabtu.
Hak kewarganegaraan berasaskan tempat lahir dijamin di bawah Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS yang diterima pakai pada tahun 1868. Pindaan itu pada asalnya bertujuan untuk menjamin hak kewarganegaraan bagi golongan bekas hamba dan keturunan mereka selepas Perang Saudara.
Berdasarkan pindaan tersebut, hampir sesiapa sahaja yang dilahirkan di bumi AS secara automatik menjadi warganegara tanpa mengira kerakyatan ibu bapa mereka.
Ketika penggal pertama pentadbiran Presiden Donald Trump, Jabatan Negara telah memperkenalkan beberapa peraturan bagi menyekat trend pelancongan bersalin ini.
Langkah tersebut membenarkan pegawai konsular menolak permohonan visa pelawat sekiranya mereka mendapati tujuan utama pemohon adalah untuk mendapatkan kewarganegaraan AS bagi anak yang bakal dilahirkan.
Selain itu, mereka yang memohon atas alasan rawatan perubatan juga diwajibkan untuk mengemukakan dokumen pelan rawatan serta bukti kemampuan kewangan untuk membayarnya. Peraturan tersebut kekal berkuat kuasa sehingga kini. – AGENSI










