PDRM diarah siasat menyeluruh laporan dakwaan ahli Parlimen terima mesej berunsur rasuah - Utusan Malaysia

PDRM diarah siasat menyeluruh laporan dakwaan ahli Parlimen terima mesej berunsur rasuah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis berikutan dakwaan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menerima mesej berunsur rasuah melalui aplikasi WhatsApp.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain merujuk laporan-laporan polis tersebut kepada pihak Suruhanjaya  Pencegah Rasuah (SPRM), siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat pihak terlibat.

“Kementerian Dalam Negeri memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis yang  palsu dan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini

Terdahulu, SPRM mengesahkan sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan mendakwa beberapa ahli Parlimen DAP ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan oleh sesetengah pihak untuk mereka menyokong Kerajaan PN.

Setakat ini, SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli parlimen berkenaan.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran mendakwa beliau dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan di aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah sehari sebelumnya.

Beliau mendakwa tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.

Laporan polis telah dibuat setiausaha sulit ahli Parlimen itu dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan itu dan dihantar kepada pihak SPRM Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, dua lagi laporan polis telah dibuat di Kedah dan Pulau Pinang berkaitan perkara sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN