Najib Razak saman fitnah Muhyiddin, Wan Saiful - Utusan Malaysia

Najib Razak saman fitnah Muhyiddin, Wan Saiful

NAJIB RAZAK dan MUHYIDDIN YASSIN
NAJIB RAZAK dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana didakwa menghina mahkamah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menerusi peguamnya akan menfailkan saman berkenaan ekoran dakwaan Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana terdapat pihak yang ‘rakus’ kuasa demi jawatan nombor satu negara.

Najib berkata, Muhyiddin sebaliknya lupa siapa yang bersikap seperti itu dengan sanggup menikam belakang Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mengkhianat gabungannya (Bersatu) untuk merampas kuasa selepas parti itu kalah kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tajung Piai, Johor, pada 2019.

“Siapa yang rakus untuk kekalkan kuasa sehingga hentikan Parlimen selama tujuh bulan dan selepas dipaksa bersambung, dia tidak benarkan Ordinan Darurat dibentang sehingga terpaksa menipu Yang di-Pertuan Agong?

“Siapa yang rakus kuasa sehingga sanggup sogok-menyogok ahli-ahli Parlimen? Ini bukan rakus kuasakah?,” soal Najib dalam hantaran di Facebooknya malam ini.

Siang tadi, Wan Saiful berkata, Muhyiddin sejak awal lagi mendambakan kestabilan politik supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 namun keadaan bertukar malang disebabkan ada pihak tertentu yang rakus dan berniat untuk merosakkan kestabilan yang dikecapi.

4 Ogos lalu pula, Muhyiddin mendakwa menerima tekanan beberapa pihak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah namun menegaskan, tidak melayan tuntutan itu dan mengorbankan prinsip serta membelakangi sumpah jawatannya.

Untuk rekod, beberapa ahli Parlimen dari UMNO ada yang berdepan tindakan mahkamah termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak turut berdepan kes mahkamah dan masih dalam perbicaraan.

Bagaimana, Muhyiddin tidak menyebut secara khusus berkenaan pihak yang dikatakan menekan beliau untuk mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan sesiapa yang terlibat dalam dalam kes mahkamah.

WAN SAIFUL WAN JAN

Wan Saiful pula dalam kenyataan Facebooknya sebelum ini mendakwa antara kes yang dimaksudkan oleh Muhyiddin dalam kenyataan berhubung campur tangan dalam urusan mahkamah adalah membabitkan Ahmad Zahid yang meminta Muhyiddin menggugurkan kes-kesnya di mahkamah manakala Najib pula didakwa pernah meminta Muhyiddin menukar hakim dalam proses rayuannya.

Mengulas lanjut, tambah Najib, Muhyiddin mendakwa jalan paling mudah untuk beliau mengekalkan kuasa ialah bersubahat dengan golongan kleptokrat’ tetapi beliau tidak berbuat demikian.

Sedangkan, kata Najib, Muhyiddin lupa golongan itu jugalah tempat beliau meminta untuk dinaikkan sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak Langkah Sheraton, Mac tahun lalu.

“Tidak cukup dengan itu, beliau kata dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh saya disebabkan isu 1MDB (1 Malaysia Development Berhad).

“Tidak benar, beliau dipecat kerana berkomplot dengan Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak tahun 2014 untuk menumbangkan saya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri – jauh sebelum isu 1MDB lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau bukan seorang yang suka melemparkan tuduhan tidak berasas jauh sekali bermain propaganda kerana ia dilakukan melalui pembuktian, kebenaran, sains dan data.

Beliau juga mencabar Muhyiddin untuk membuat laporan polis bahawa terdapat pihak yang ‘mengarahnya’ menganggu kes-kes utama namun tidak berani.

“Sampai kita perlu buat untuk kamu (seperti lampiran). Suruh kamu keluarkan bukti, kamu tak ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.