Dalam dunia perhotelan, tidak ramai wanita, apatah lagi orang Melayu, yang berjaya menembusi kelompok kepimpinan tertinggi.
Kebanyakan jawatan pengurus besar hotel (GM) masih didominasi lelaki berikutan skop tugas yang luas merangkumi operasi, kewangan dan pengurusan sumber manusia.
Namun, Shaidatul Nurfairuze A. Rashid membuktikan keupayaan memimpin tidak ditentukan oleh jantina semata-mata, sebaliknya hasil pengalaman, ketekunan dan konsistensi kerja.
Dia kini menggalas tanggungjawab sebagai GM Hotel Dorsett Putrajaya, bermula Februari lalu.

Lebih manis, anak jati Johor ini merupakan wanita Melayu pertama memegang jawatan itu sejak hotel berkenaan dibuka 10 tahun lalu.
“Dulu-dulu memang ada persepsi jawatan GM ini biasanya datang daripada latar belakang makanan dan minuman (F&B) serta majoritinya lelaki.
“Tetapi lama-kelamaan tanggapan itu berubah kerana yang paling penting adalah kemampuan individu untuk meningkatkan jualan supaya hotel dapat terus bertahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Terdahulu, laluan kerjayanya bermula sebagai eksekutif sebelum berkembang ke peringkat pengurus dan seterusnya pengarah bahagian jualan dan pemasaran.
Pengalaman lebih 18 tahun itu memberinya pendedahan terhadap aspek operasi dan strategi peningkatan hasil hotel.
Malah, sepanjang tempoh itu juga, dia telah berkhidmat di lebih lapan hotel bertaraf lima bintang di ibu kota.
Bercerita lanjut, Shaidatul Nurfairuze berkata, minatnya terhadap kerjaya perhotelan tercetus sejak kecil lagi.
Ia semakin kuat apabila keluarganya sering menginap di hotel di Singapura setiap kali musim cuti persekolahan.
“Saya mula rasa tertarik dan seronok tengok cara kakitangan melayan tetamu serta menguruskan operasi hotel.
“Selepas tamat sekolah, saya sambung pengajian dalam bidang pengurusan hotel dan terus masuk ke industri ini,” katanya.
Jelasnya, pada peringkat awal, ada ahli keluarga yang kurang bersetuju kerana mereka mengaitkan kerjaya di hotel dengan bar.
Namun, ia tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadi motivasi untuk terus berjaya hingga ke peringkat sekarang.
“Saya bukan jenis mudah mengalah, di mana sahaja berada, saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada majikan dan organisasi.
“Di hotel sebelum ini, saya turut terlibat dalam pencapaian jualan sebanyak RM5 juta, selain membantu meningkatkan kadar bilik daripada RM200 kepada RM400 satu malam,” katanya.
Setiap kali sesuatu misinya selesai, Shaidatul Nurfairuze tidak mahu terlalu lama berada dalam zon selesa, sebaliknya cenderung meneroka cabaran di tempat baharu bagi terus memperbaiki diri.
Kebersihan, makanan diutamakan
Baginya, kebersihan dan kualiti makanan merupakan tunjang utama kejayaan sesebuah hotel.

Tanpanya sukar untuk sesebuah hotel meninggalkan pengalaman yang baik kepada tetamu, walaupun dilengkapi kemudahan moden dan lokasi strategik.
Kedua-dua elemen itu juga mencerminkan standard dan imej hotel.
Dalam masa sama, aspek kerja berpasukan juga tidak boleh dipandang ringan kerana setiap bahagian memainkan peranan penting dalam memastikan operasi hotel berjalan lancar dan memenuhi keperluan tetamu.
“Saya percaya pasukan yang baik merupakan aset paling berharga dalam mana-mana organisasi, terutama hotel.
“Apabila setiap bahagian saling melengkapi dan memainkan peranan masing-masing, suasana kerja menjadi lebih positif sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada tetamu,” katanya.
Bagi meningkatkan motivasi pasukan, Shaidatul Nurfairuze menyediakan insentif khas kepada mereka yang mencapai sasaran jualan.
Selain itu, ganjaran kenaikan gaji dan jawatan turut diberikan kepada kakitangan yang layak.
Kadar bilik naik RM21
Antara pencapaian awal yang diraih ibu kepada seorang anak berusia 20 tahun ini ialah meningkatkan kadar bilik sebanyak RM21.
Menariknya, jumlah itu melonjak dalam tempoh dua bulan sahaja selepas dia menerajui kepimpinan hotel.
“Sebelum ini kenaikan yang direkodkan di sini cuma kira-kira RM2 setahun.
“Justeru, misi saya adalah untuk terus meningkatkan kadar tersebut di samping menawarkan pengalaman penginapan terbaik kepada para tetamu,” katanya.
Bukan itu sahaja, dia turut menubuhkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan menambah baik piawaian keselamatan kebakaran di premis tersebut.
Langkah itu bertujuan memastikan keselamatan tetamu dan kakitangan sentiasa terjamin, sepanjang masa.
“Apabila pertama kali menggalas jawatan ini, banyak perkara baharu yang perlu dipelajari.
“Namun paling penting ialah bagaimana menjana hasil kepada hotel dan mengawal perbelanjaan yang dikeluarkan setiap hari.
“Saya sering ibaratkannya seperti akaun bank, apa yang disimpan dan dibelanjakan perlu seimbang,” katanya.
Cekodok, kari kepala ikan jadi pilihan PM
Cekodok pisang yang dihidangkan di Hotel Dorsett Putrajaya merupakan antara sajian kegemaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menu tradisional itu kerap menjadi pilihan beliau setiap kali berkunjung ke hotel berkenaan.

Malah, ia turut dipesan untuk dinikmati di pejabat, terutama ketika sesi mesyuarat.
Shaidatul Nurfairuze berkata, selain cekodok pisang, kari kepala ikan juga menjadi antara hidangan yang digemari Perdana Menteri.
“Resipi cekodok itu telah digunakan sejak hotel ini mula beroperasi di Putrajaya 10 tahun lalu.
“Mungkin sentuhan dan konsistensi air tangan cef kami menepati cita rasa Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum ini, menerusi laporan media, Anwar dikatakan menyukai cekodok yang dibuat dengan lebih banyak pisang berbanding tepung.










