Masa untuk bertaubat, sindir Najib kepada MP lompat

Masa untuk bertaubat, sindir Najib kepada MP lompat

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati segelintir ahli Parlimen UMNO yang masih memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bertaubat.

Malah Najib dalam masa yang sama berkata, gesaan tersebut dibuat selepas melihat sentimen rakyat ketika ini dan kemarahan akar umbi  di peringkat bahagian UMNO terhadap ahli Parlimen berkenaan yang enggan mengikut arahan kepemimpinan parti.

“Peluang memang tipis setelah mengambil kira sentimen rakyat dan kemarahan akar umbi bahagian UMNO tersebut.

“Masa bertaubat adalah sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya semalam.

Kenyataan tersebut ditujukan kepada ahli Parlimen UMNO yang ingkar arahan parti sehingga  memberi kesan sukar untuk mempertahankan kerusi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Dalam pada itu, Najib dalam satu kenyataan berasingan berkata, belum pernah terjadi sebelum ini rasuah politik disiarkan menerusi televisyen.

Katanya, pengumuman Muhyiddin kelmarin secara tidak langsung menunjukkan pemimpin itu tidak mempunyai nilai etika sekali gus tidak menghormati Pejabat Perdana Menteri.

Malah katanya, dakwaan Muhyiddin kononnya program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan hanya disifatkan sebagai pembohongan semata-mata.

“Belum pernah terjadi dalam sejarah Malaysia sebelumnya rasuah politik disiarkan di televisyen. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak memiliki semangat moral dan nilai etika untuk memimpin negara ini. 

“Ia juga tidak masuk akal baginya untuk mendakwa bahawa PICK akan terganggu dan negara tidak akan capai imuniti kelompok. Mengapa dia berbohong? Wang itu bukan daripada poketnya dan bukan dia yang menyuntik pesakit. Kerajaan dan program akan diteruskan seperti di bawah perkhidmatan kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Najib berkata, mengubah kepemimpinan tidak bermaksud bahawa negara berhenti berfungsi.

“Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggantikan Trump dan Perdana Menteri Shinzo  Abe daripada Jepun diganti akhir tahun lalu dan tahun ini menunjukkan bahawa negara itu berada dalam keadaan baik.

“Sebenarnya, ia mungkin menjadi lebih baik kerana fokus Perdana Menteri sekarang hanyalah bagaimana merancang atau memberi rasuah untuk mengekalkan kuasa dan bukannya melawan Covid-19 serta menyelamatkan ekonomi,” ujarnya. 

Tambah Najib, negara ini layak mendapat kepemimpinan baharu yang tidak melakukan kesalahan besar dan berulang berkali yang akhirnya menjadikan negara kita antara negara terkesan dalam dunia akibat kes Covid-19.

“Kami tidak terkesan tanpa sebab. Seseorang harus membayar kerana kerosakan yang dilakukan terhadap semua rakyat Malaysia yang terlalu besar dan tidak dapat dimaafkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN