PETALING JAYA: Keuntungan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk menampung subsidi kerana syarikat minyak negara itu bukan tabung kerajaan.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas merupakan entiti komersial yang mempunyai komitmen kos, hutang serta pelaburan.
Beliau berkata, tidak semua hasil syarikat berkenaan boleh digunakan secara bebas oleh kerajaan.
“Sebagai contoh pada 2025, hasil Petronas berjumlah RM266 bilion dengan keuntungan RM45.4 bilion. Ia dilihat besar, namun bukan dana bebas kerana perlu digunakan untuk membayar hutang, pelaburan dan operasi.
“Kerajaan hanya mengambil sebahagian dan sebenarnya Petronas telah banyak menyumbang kepada negara termasuk pembayaran dividen RM20 bilion bagi 2026 serta kira-kira RM1.5 trilion sejak 1974,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tengku Zafrul berkata, Petronas bukan sumber kewangan yang tidak terhad, apatah lagi dalam keadaan kerajaan menanggung kos subsidi yang tinggi.
Katanya, perbelanjaan subsidi ketika ini dianggarkan sekitar RM4 bilion sebulan atau RM48 bilion setahun, namun jumlah itu masih tidak mencukupi berbanding tambahan hasil minyak sekitar RM10 bilion hingga RM14 bilion.
Beliau turut memberikan analogi seorang peniaga runcit yang menggunakan keuntungan tanpa perancangan kewangan yang berhemat.
“Bayangkan seorang peniaga menggunakan wang di kaunter sesuka hati. Apabila tiba hujung bulan, pembekal menuntut bayaran dan stok perlu ditambah, namun dana tidak mencukupi.
“Keadaan itu menyebabkan peniaga tersebut tertanya-tanya ke mana perginya wang walaupun perniagaan berjalan baik kerana semuanya telah dibelanjakan. Kita tidak mahu Petronas berada dalam situasi sedemikian.
“Jika semua keuntungan dihabiskan, pelaburan akan terhenti, pengeluaran menurun dan hasil masa depan merosot. Ini bukan langkah berjimat, sebaliknya menjejaskan masa depan,” katanya.
Tambah beliau, isu utama bukan terletak sama ada PETRONAS mencatat keuntungan atau sebaliknya, tetapi bagaimana kekayaan negara diurus secara berhemah bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan. – UTUSAN










