PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap sebarang salah laku susulan insiden di Bentong, Pahang yang melibatkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sehingga mengorbankan nyawa.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kes berkenaan kini berada dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, ATM turut diarahkan memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, rasa tidak puas hati terhadap kerja pembersihan stor senjata dilaporkan menjadi punca seorang anggota tentera parah dipukul di kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Pahang pada Isnin lalu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota kem berkenaan di bahagian muka dan perut. – UTUSAN










