PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri diarah mengambil tindakan segera berhubung isu kerosakan infrastruktur di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut amat memberi kesan dan memerlukan penyelesaian segera demi memastikan kebajikan serta keselesaan murid sentiasa terpelihara.
“Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada KPM dan ICU untuk penyelesaian segera.
“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, isu murid-murid SK Balaban Jaya, Beluran, Sabah terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di khemah dan koridor masjid berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun.
KPM memaklumkan, situasi itu menyebabkan keadaan sekolah tidak lagi berada pada tahap selamat untuk digunakan.
Katanya, tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan sementara murid terlibat ke SK Pekan Beluran serta menyediakan kemudahan pengangkutan ke sekolah berkenaan. – UTUSAN










