Kes pukul tentera di Bentong diklasifikasi semula sebagai bunuh, bapa tuntut keadilan

Kes pukul tentera di Bentong diklasifikasi semula sebagai bunuh, bapa tuntut keadilan

ALLAHYARHAM MUHAMMAD AMIRUL RAZIQ ROSAFINDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kes serangan membabitkan tentera berpangkat koperal yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek sebelum ini dituduh di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.34 pagi ini, sekali gus membawa kepada perubahan klasifikasi kes kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Zaiham berkata, permohonan bedah siasat sudah dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa, selain polis akan meneliti semula semua keterangan yang dirakam.

“Sekiranya perlu, polis akan memanggil semula saksi-saksi untuk rakaman percakapan tambahan,” jelasnya.

Sementara itu, bapa mangsa, Rosafindi Tambi Chik, 49, menuntut keadilan ditegakkan sambil menyifatkan kejadian menimpa anaknya sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku dalam dunia ketenteraan.

“Saya jaga anak saya hampir 24 tahun, bukan untuk diperlakukan begini, keadilan mesti ditegakkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Temerloh.

Mangsa, Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa pukul dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN