PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan terbakar dipercayai membunuh diri dalam kejadian di padang bola di Taman Bidara, Bukit Idaman, Selayang di sini, semalam.
Lelaki berusia 32 tahun yang tidak dapat dikenal pasti bangsa ditemukan dalam keadaan meniarap serta kesan terbakar pada seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, siasatan mendapati mangsa adalah warga tempatan berasal dari Selayang.
Katanya, hasil siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa ke tempat kejadian pada pukul 1 pagi dengan menaiki kenderaannya.
“Sejurus selepas sampai di lokasi kejadian, mangsa dilihat keluar dari kenderaan dan berjalan menuju ke arah padang bola bersama satu objek yang menyerupai tong plastik.
“Turut ditemukan di lokasi kejadian adalah barang peribadi dan barang kemas milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zainal, hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan siasatan diklasifikasi di bawah Kes Mati Mengejut (SDR). – UTUSAN ONLINE










