PUTRAJAYA: Seramai 352,649 guru atau meliputi 85.41 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala bagi guru kelas peperiksaan pula merekodkan seramai 84,995 orang (94.89 peratus).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sejumlah 54,930 orang (46.64 peratus) pula melibatkan pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas atau van sekolah menerima vaksinasi.
Beliau berkata, berikutan pengumuman Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengenai perluasan inisiatif pemberian vaksin secara walk-in ke seluruh negara, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan yang disenaraikan kumpulan khas diseru mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksinasi masing-masing.
“Saya menyeru guru, AKP atau pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima janji temu dos pertama vaksin atau belum mendaftar mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksin masing-masing.
“Perincian mengenai pemberian vaksin secara walk-in bagi kumpulan khas sekolah di bawah kementerian, termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Radzi berkata, usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin terus dipergiatkan melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF.
“Marilah sama-sama kita menjayakan program vaksinasi negara bagi membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik Covid-19,” katanya.
Terdahulu, CITF dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif vaksinasi walk-in yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang diperluaskan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seluruh negara untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat.
Bagaimanapun hanya lima golongan diberi keutamaan untuk datang secara terus iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas.
Katanya, dua lagi golongan ialah individu yang terlepas suntikan dos kedua dengan dibenarkan pergi ke mana-mana PPV berhampiran kediaman, namun jika PPV tersebut tidak menawarkan vaksin dari jenis sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.
Guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan KPM turut dikhususkan dalam inisiatif ini.
Menurut CITF, bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, tetapi ingin walk-in untuk dos pertama kerana tiada janji temu, mereka perlu pergi ke PPV yang disenaraikan sebelum ini.










