Kerajaan lulus 80 projek air luar bandar Sarawak, peruntukan RM3.47 bilion - Utusan Malaysia

Kerajaan lulus 80 projek air luar bandar Sarawak, peruntukan RM3.47 bilion

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 80 projek baharu dan sambungan di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak diluluskan bagi memperkukuh kemudahan asas di negeri itu, dengan kos keseluruhan projek bernilai RM3.47 bilion.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, projek itu turut melibatkan peruntukan RM141.87 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2026.

“KKDW komited dalam memastikan infrastruktur asas luar bandar Sarawak terutamanya berkaitan bekalan air luar bandar terus diperkasa.

“Ini adalah susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju untuk menyerahkan projek-projek BALB Sarawak kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk dilaksanakan.

“Langkah ini diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pemerkasaan peranan Kerajaan Negeri Sarawak, demi memastikan manfaat dapat disampaikan kepada masyarakat luar bandar secara lebih pantas dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKDW memaklumkan, mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk menyelaraskan tindakan yang perlu antara kementerian dan agensi pusat dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Ini bagi memastikan penyerahan projek BALB berjalan dengan lancar. Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan kementerian untuk menerajui pembangunan luar bandar, seterusnya meningkatkan kualiti hidup komuniti di Sarawak melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN