KUALA TERENGGANU: Kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen yang kini kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin meletak jawatan perlu segera diisi bagi mengelak pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan persepsi umum terhadap kepemimpinan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan mengenai pengosongan kerusi tersebut telah dibuat di peringkat Majlis Tertinggi PN.
Katanya, selaras dengan persefahaman dalam PN, jawatan itu akan diisi oleh calon daripada Pas.
“Kita sudah buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi PN sebelum ini dan kini kerusi itu telah dikosongkan. Bila sudah kosong, sepatutnya ia segera diisi.
“Kita putuskan calon adalah daripada Pas. Jadi, sesiapa sahaja Ahli Parlimen Pas yang dipersetujui untuk dicalonkan, Bersatu menerimanya,” katanya ketika menghadiri Majlis Jamuan Raya Bersatu Terengganu di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, walaupun sesi Parlimen seterusnya dijangka berlangsung pada Jun, pengisian jawatan itu tidak wajar ditangguhkan.
“Kalau dibiarkan kosong terlalu lama, timbul pelbagai andaian dan spekulasi yang tidak memberi gambaran baik kepada PN di peringkat nasional. Saya menunggu keputusan pimpinan tertinggi Pas untuk menamakan calon dan berharap ia dapat dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.
Ahad lalu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Sementara itu, Muhyidin menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara Bersatu dan Pas dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Katanya, hubungan erat antara kedua-dua parti dalam PN terbukti membawa kejayaan termasuk di Terengganu yang menjadi antara contoh terbaik.
“Kerjasama antara Bersatu, Pas dan rakan-rakan dalam PN telah membuahkan banyak kejayaan, khususnya hasil sokongan besar pengundi Melayu Islam. Di sesetengah kawasan, sokongan itu mencecah antara 70 hingga 80 peratus, malah di Terengganu mungkin lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










