MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera selepas diserang lelaki bersenjatakan parang ketika melakukan serbuan kes dadah di Tanjung Kling di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menjalankan serbuan.
“Semasa serbuan di kawasan Tanjung Kling, seorang suspek lelaki tiba-tiba bertindak agresif.
“Lelaki berusia 31 tahun itu mengugut serta menyerang anggota menggunakan parang sebelum cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian,” katanya hari ini
Christopher berkata, anggota terlibat mengalami kecederaan ringan bengkak ibu jari tangan kiri akibat serangan tersebut.
“Suspek akan dituduh hari ini atas enam pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 324, 506 dan 186 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Lelaki itu juga akan berdepan pertuduhan lebih berat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa atau memiliki senjata berbahaya di tempat awam,” ujarnya. – UTUSAN










