Lapangan terbang KXP dijangka siap 2026 - Muhammad Sanusi

Lapangan terbang KXP dijangka siap 2026 – MB Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sidam Kiri, Kuala Muda, Sungai Petani dekat sini yang bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri ini dan utara tanah air dijangka siap pada tahun 2026.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, fasa pertama projek itu akan bermula dalam tempoh terdekat dan menelan belanja sebanyak RM6 bilion termasuk kos pengambilan tanah.

“Beberapa projek lain akan menyusul termasuk pembangunan empat infrastruktur utama iaitu Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) melibatkan laluan antara Bandar Baharu, Kulim ke Sungai Petani melalui KXP.

“Selain itu akan dibina akses baharu Lebuh Raya Utara-Selatan di Tikam Batu serta kerja menaik taraf laluan keluar masuk ke Sungai Petani.

“Terdapat juga cadangan penjajaran baharu kereta api dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Sungai Petani,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.  

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. (KXP AirportCity) terdahulu mewakili kerajaan negeri memeterai perjanjian usahasama dengan pihak swasta iaitu Kumpulan ECK yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Khor Eng Chuen.

Menerusi perjanjian itu, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan bagi bertindak sebagai pemilik serta pemaju projek KXP.

Sebanyak 80 peratus pegangan ekuiti dalam SPV berkenaan dimiliki ECK manakala bakinya kepunyaan kerajaan negeri menerusi KXP AirportCity yang merupakan syarikat subsidiari PKNK.

Muhammad Sanusi menambah, KXP dijangka memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau termasuk hab industri halal dan e-dagang bagi rantau ASEAN.

Selain itu katanya, lapangan terbang itu akan dijadikan hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.

“KXP juga bakal menjadi hab penerbangan haji serta umrah khususnya bagi penduduk di utara Semenanjung. Dari segi ekonomi pula, kerajaan negeri optimis KXP mampu menjana peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Kedah yang diunjurkan 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus pada masa ini.

“Sumbangan kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) dijangka mampu mencecah RM1.186 blion (AS$281 juta) pada 2026 dan KXP dijangka akan menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan secara langsung untuk diisi penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya