Lakukan gencatan senjata politik kekuasaan - Utusan Malaysia

Lakukan gencatan senjata politik kekuasaan

ISMAIL MINA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak terutama pemimpin politik digesa menumpukan seluruh tenaga kepada usaha menguruskan sosioekonomi masyarakat, memutuskan rantaian wabak Covid-19 serta menguraikan kekusutan politik yang berlarutan sehingga boleh menjana ketidakstabilan negara lebih dahsyat.

Pemimpin Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI), Ismail Mina Ahmad berkata, semua pemimpin politik perlu menghayati jiwa ‘Hijrah’ dengan memberhentikan segera perbalahan dan tindakan perebutan kuasa politik ketika masyarakat dan negara sedang berada dalam keadaan luar biasa.

“Pemimpin politik kelihatan semakin ghairah dan agresif untuk menguasai koridor kekuasaan. Amalan dan tindakan politik demokrasi dalam norma biasa harus digantikan dengan kaedah ‘kewajipan semasa’ atau wājib al-waqt.

“Justeru, IPTI mengharapkan semua pemimpin politik perlu berjiwa besar dengan menahan sifat amarah masing-masing tetapi menjana sifat sabar yang luar biasa dalam keadaan luar biasa seperti sekarang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masing-masing perlu menghentikan segera segala pergelutan dan persengketaan seperti nasihat dan titah Raja-Raja Melayu serta mengadakan gencatan senjata politik kekuasaan.

Katanya, cara sedemikian boleh menjernihkan keadaan yang sudah pun keruh dan mendukacitakan ini.

“Semua pemimpin politik bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu membantu mengurus masyarakat dan negara agar dapat keluar daripada keadaan masalah sosioekonomi melalui tindakan bijaksana semua pemimpin politik, termasuk Raja-Raja Melayu.

“Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak kekuatan serta kestabilan politik negeri dan nasional telah pun bersuara memberi tunjuk ajar dan nasihat,” katanya.

Menurut beliau, atas kebijaksanaan Raja-Raja Melayu itu, beberapa prinsip dan kaedah Siyasah Syar‘iyyah dapat dilakukan tanpa melalui proses biasa dalam norma biasa di Parlimen, tetapi boleh diurus dengan bijaksana oleh Dekri Diraja.

Jelasnya, ini adalah satu mekanisme efektif dalam merungkai sementara kemelut sosiopolitik Malaysia sekarang, sebelum rangkaian Covid-19 dapat diputuskan sepenuhnya, sekali gus kembali kepada keadaan politik sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN