PETALING JAYA: Serangan ketenteraan berterusan oleh rejim Zionis Israel terhadap Lubnan berisiko menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.
Wisma Putra berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan secara berterusan yang didalangi rejim Zionis Israel terhadap Lubnan ketika ini.
Katanya, tindakan pencerobohan itu merupakan suatu pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, serta pelanggaran terus terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Peningkatan konflik ini juga menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran, serta mengancam untuk mengheret rantau tersebut ke dalam konflik yang lebih luas.
“Ia turut akan menjejaskan usaha diplomatik semasa, serta berisiko mengakibatkan ketidakstabilan menyeluruh di Asia Barat, dengan implikasi buruk terhadap keamanan dan
keselamatan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.
Katanya, tindakan Israel itu mesti dihentikan segera bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan bagi melindungi kedaulatan Lubnan.
“Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat Lubnan, dan kekal teguh dengan pendiriannya bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui penghentian semua serangan dan persengketaan selain komitmen jitu terhadap penyelesaian diplomatik yang aman,” katanya.-UTUSAN










