WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik hebat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan dilihat mengulangi ancamannya berhubung wilayah Denmark, Greenland selepas satu mesyuarat tertutup dengan ketua pakatan itu, Mark Rutte.
Trump dijangka membincangkan kemungkinan AS keluar daripada blok keselamatan penting tersebut.
Kemarahan Trump terhadap sekutu-sekutu NATO kerana kegagalan mereka untuk turut serta dalam perangnya terhadap Iran telah mencetuskan kebimbangan bahawa beliau akan berusaha menarik AS keluar daripada pakatan yang hampir berusia lapan dekad itu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan pertamanya selepas mesyuarat tersebut, beliau sekadar mengulangi rasa kecewanya.
“NATO tidak ada ketika kami memerlukan mereka dan mereka juga tidak akan ada, jika kami memerlukan mereka lagi,” tulisnya di media sosial miliknya, Truth Social.
“Ingat Greenland, kawasan ais yang besar dan ditadbir dengan buruk itu,” tambahnya lagi tanpa memberikan butiran lanjut.
Sebelum Trump melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari lalu dan mengancam untuk merampas pulau Artik itu dari Denmark yang juga sekutu NATO merupakan isu utama menggoncang pakatan tersebut.
Rutte yang juga bekas perdana menteri Belanda dan dikenali kerana kemahirannya memujuk pemimpin AS, memasuki bangunan Sayap Barat Rumah Putih melalui pintu sisi dan mesyuarat mereka diadakan secara tertutup.
“Ia merupakan perbincangan yang sangat terus terang, ia merupakan perbincangan sangat terbuka,” kata Rutte kemudian kepada CNN dalam satu temu bual televisyen.
Apabila ditanya beberapa kali sama ada Trump ada menyatakan bahawa beliau akan meninggalkan pakatan itu, Rutte tidak menjawab secara langsung.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, memberitahu wartawan sebelum mesyuarat bahawa kemungkinan menarik diri dari NATO itu adalah sesuatu yang pernah dibincangkan oleh presiden.
Sementara itu, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menghukum beberapa anggota NATO yang menurutnya tidak membantu semasa konflik tersebut dengan memindahkan tentera AS keluar dari negara mereka.
Mesyuarat itu berlangsung sehari selepas AS dan Iran bersetuju dengan satu gencatan senjata rapuh selama dua minggu. – AFP










