PETALING JAYA: Pemuda UMNO mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula formula menentukan harga minyak bagi membolehkan rakyat menikmati kadar minyak lebih rendah berdasarkan harga pasaran dunia.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, perkara itu telah dilaksanakan di Thailand apabila rakyatnya menikmati harga minyak lebih rendah bermula hari ini sejajar dengan jatuhnya harga minyak mentah global susulan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.
Katanya, keadaan itu berlaku apabila pada minggu lalu Kerajaan Thailand telah meneliti semula formula harga minyak mereka.
“Apabila harga minyak dunia telah turun semalam, maka hari ini harga minyak (di stesen minyak) mereka turut turun, manakala di Malaysia, harga minyak kita terus meningkatkan akibat formula penentuan harga minyak negara ditentukan oleh purata harga bagi minggu sebelumnya.
“Jadi mungkin Kerajaan Malaysia boleh melihat semula formula digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak atau pun cari raja formula yang sebelum ini kata boleh turunkan (harga) minyak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan harga subsidi RON95 di bawah Program Budi Madani (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini, manakala harga runcit tanpa subsidi naik 40 sen kepada RM4.27 seliter.
Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung meningkat 70 sen kepada RM6.72 seliter.-UTUSAN










