PUTRAJAYA: Kampung Kubang Sawa di Kelantan antara 14 lokaliti di empat negeri yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak dalam Mukim Jal Besar, Jajahan Tumpat selepas merekodkan 24 kes Covid-19.
Perkampungan ini dijangkiti wabak itu daripada seorang remaja bergejala berusia 16 tahun yang disahkan positif pada 29 Julai lalu sekali gus mewujudkan Kluster Pekerja Industri Jalan Tunjong.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, turut dilaksanakan di negeri itu ialah Kampung Chenerai, Kampung Lubok Kawah, Kampung Pohon Tanjung, Kampung Pak Jak dan sebahagian Kampung Landar di Jajahan Pasir Mas.
Kata beliau, Di Pahang pula, PKPD melibatkan Kampung Bongkok, Daerah Bera dan Kampung Gadak, Daerah Rompin, manakala di Sarawak pula, ia meliputi kuarters pekerja Sri Datai Mining di Mukah selain di Sabah iaitu Kampung Wokok Kinuta, Kota Belud; Kampung Pengiran, Sipitang; Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu; serta kilang dan kuarters Bumi Timber dan Kosinar di Keningau.
“Empat lokaliti di empat negeri yang sepatutnya berakhir PKPD esok, namun disambung lagi meliputi Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Kedah; Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang, Kelantan; Kampung Gambaron 2, Telupid, Sabah serta Amber Court dan tapak bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands, Bentong, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, 16 lagi lokaliti tamat PKPD esok seperti dijadualkan antaranya Kampung Padang Kubu, Kemaman, Terengganu; Felda Sungai Koyan 3, Lipis, Pahang; Kampung Lubok Stol, Pasir Mas, Kelantan; Kampung Seratau, Kuching, Sarawak.
Katanya, Di Perak, empat lokaliti yang berakhir PKPD terletak di Daerah Perak Tengah iaitu Kampung Biak Hilir, Kampung Biak Darat, Kampung Biak Barok dan sebahagian Kampung Pasir Salak.
“Selebihnya di Sabah iaitu Kampung Bayangan dan Kampung Purakagis, Keningau; Kampung Lembah Permai dan Kampung Pugi Gunsapou, Ranau; Kampung Marintaman dan Perumahan SFI, Sipitang; Kampung Tembidong-Bidong, Telupid serta Kampung Airport Lama, Tawau,” katanya. – UTUSAN ONLINE









