PETALING JAYA: Suspek yang disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di kawasan Stesen MRT Kuchai Lama dekat sini pada 9 April lalu ialah lelaki warga China.
Suspek berusia 20 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada pukul 9.22 malam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 23 tahun bekerja sebagai juruterapi kecantikan mendakwa telah dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Menurutnya, kejadian berlaku di kaki lima stesen ketika mangsa sedang berjalan menuju ke tandas.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengekori mangsa sebelum bertindak melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek ditahan pada hari sama dan direman sehingga 24 April ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan serta Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – UTUSAN








