RM3.5 juta galak peniaga kelapa sawit peroleh pensijilan MSPO

RM3.5 juta galak peniaga kelapa sawit peroleh pensijilan MSPO

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperkenalkan insentif berjumlah RM3.5 juta bagi menyokong peniaga kelapa sawit memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, lebih 3,000 peniaga yang layak di seluruh negara bakal menerima manfaat tertakluk kepada syarat dan kelayakan ditetapkan.

Katanya, permohonan bagi insentif itu boleh dikemukakan bermula 15 April ini melalui sistem e-MSPO.

“Inisiatif berkenaan merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membantu peniaga buah kelapa sawit memenuhi keperluan pematuhan semasa, selain memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara.

“Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0 serta menyokong agenda negara dalam memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang secara mampan, bertanggungjawab dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, ia membantu memperluas liputan pensijilan dalam kalangan peniaga kelapa sawit, sekali gus mengukuhkan keseluruhan ekosistem rantaian bekalan sawit negara.

Katanya, kerajaan akan terus mengambil pendekatan bertanggungjawab dan berfokus bagi memastikan industri sawit kekal stabil, berdaya saing serta diyakini pasaran.

“Dalam keadaan semasa, setiap langkah yang diambil perlu memberi sokongan berkesan kepada pemain industri khususnya yang terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan sawit negara.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor sawit negara di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN