Kerajaan bersedia sepenuhnya laksana adunan biodiesel B15

Kerajaan bersedia sepenuhnya laksana adunan biodiesel B15

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan adunan biodiesel B15 yang akan berkuat kuasa secara rasmi bermula 1 Jun ini.

Ia selepas Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah melaksanakan semua proses libat urus teknikal bersama syarikat-syarikat petroleum bagi memastikan rantaian bekalan, logistik dan infrastruktur di depoh-depoh adunan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 itu mencerminkan kesiapsiagaan infrastruktur, kejuruteraan serta teknologi negara dalam menyokong agenda tenaga boleh baharu.

Katanya, peralihan tersebut turut memperlihatkan komitmen Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan minyak sawit bagi sektor tenaga domestik tanpa menjejaskan bekalan pasaran eksport.

“Kadar adunan baharu ini dilaksanakan menerusi mekanisme yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api.

“Pelaksanaan inisiatif ini dapat mengurangkan kebergantungan import diesel petroleum, memanjangkan stok bekalan sedia ada, menstabilkan harga minyak sawit mentah (CPO) domestik serta mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan.

“Langkah itu selaras dengan hasrat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, bagi peringkat penguatkuasaan, KPK kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Inisiatif penerangan awam turut diselaraskan bersama Kementerian Komunikasi bagi memastikan maklumat tepat disampaikan kepada pengguna,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan adunan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan dan hanya menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, penggunaan biodiesel dapat memanjangkan lagi ketersediaan bekalan diesel negara, disokong dengan pelan mitigasi biobahan api, naik taraf depoh B20 dan B30 secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor pengangkutan komersial dan awam.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN