Tarif AS tidak jejas kos input ladang sawit

Tarif AS tidak jejas kos input ladang sawit

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) tidak memberi sebarang kesan kepada kos input ladang sawit di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu berlaku kerana majoriti input yang digunakan dalam sektor penanaman sawit diperoleh dari dalam negara dan tidak bergantung kepada import dari AS.

“Tarif ini tidak ada kaitan dengan ladang kelapa sawit kita kerana kebanyakan input diperoleh secara domestik. Hanya sebahagian bahan kimia dan baja termasuk nitrogen, phosphorus dan potassium (NPK) yang diimport, namun import tersebut tidak melalui Amerika Syarikat,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (PN–Maran) mengenai kemungkinan peningkatan kos input pertanian susulan perjanjian Malaysia-AS melalui Artikel 2.3 Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Sementara itu, Johari berkata, kementeriannya sedang merangka satu skim baharu bagi meningkatkan kadar pembiayaan (melibatkan geran dan pinjaman) untuk program tanam semula sawit yang ditanggung kerajaan yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

“Pekebun kecil selalunya sukar mendapatkan pinjaman. Jadi, saya telah berjumpa pihak bank untuk melihat sama ada ladang boleh dicagar bagi membolehkan mereka mendapat pinjaman. Kerajaan pula boleh membantu melalui subsidi faedah.

“Jika kadar faedah terlalu tinggi, kerajaan akan cuba subsidi sebanyak empat peratus,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Perladangan dan Komoditi masih berunding dengan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme subsidi faedah tersebut.

“Jika semuanya berjalan baik, kita akan lancarkan skim baharu ini sebagai pelengkap kepada skim hibrid sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN