KUALA LUMPUR: Kadar jenayah sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini merekodkan sebanyak 747 kes iaitu penurunan 111 kes berbanding tahun lalu.
Penurunan itu hasil pelaksanaan pelbagai operasi menerusi Op Selamat 25 dan 26.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar jenayah.
Katanya, kedua-dua unit bertindak sebagai responden pertama dalam sistem kawalan dan pencegahan jenayah yang bukan sahaja pantas tetapi mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi melalui rondaan berkala melibatkan 61,122 rumah.
“Usaha Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKKK) turut disokong oleh aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang kini mencatat lebih 1.7 juta pengguna berdaftar.
“Sepanjang Op Selamat, seramai 16,889 pengguna memanfaatkan modul pemakluman balik kampung berbanding 8,036 pada tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan lebih sekali ganda,” katanya pada Majlis Apresiasi Op Selamat 25 dan 26 2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, malam tadi.
Bagaimanapun, Mohd. Khalid menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah kemalangan dan kemalangan maut yang mencatatkan peningkatan.
“Kes kemalangan yang direkodkan mencatatkan peningkatan sebanyak satu peratus hampir sama dengan operasi yang dilaksanakan tahun sebelumnya.
“Sebanyak 9,934 kes kemalangan direkodkan dalam Op Selamat 25 dan Op Selamat 26 berbanding 9,859 kes pada operasi sebelumnya.
“Jumlah kemalangan maut mencatatkan peningkatan hampir 17 peratus iaitu daripada 77 kes kepada 90 kes,” katanya. – UTUSAN










