Kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual dijalankan di Jambatan Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual dijalankan di Jambatan Pulau Pinang

10 hari, empat individu direkodkan jatuh dari Jambatan Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan secara berjadual di Jambatan Pulau Pinang mulai 16 Ogos sehingga 30 Disember ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kerja penyelenggaran itu adalah salah satu daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pelanggan di Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan itu dilaksanakan secara berperingkat antara KM0.2 hingga KM8.3 melibatkan laluan Perai ke Pulau bagi mengurangkan gangguan trafik terhadap perjalanan pengguna di atas jambatan tersebut.

“Semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dijadualkan berlangsung pada sebelah malam sahaja iaitu mulai pukul 10 malam hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, semasa kerja penyelenggaraan dijalankan, penutupan lorong dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan dua lorong terus dibuka untuk keselesaan orang ramai pada
setiap masa.

Katanya, PLUS juga akan memastikan maklumat trafik serta penutupan lorong di jambatan tersebut dihebahkan kepada orang ramai secara berterusan melalui papan tanda elektronik di lokasi yang strategik menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan di lorong tengah dijalankan, lorong kanan juga akan ditutup untuk tujuan keselamatan.

“Oleh itu, hanya lorong perlahan yang boleh dilalui dan sekiranya terdapat keperluan, lorong kanan akan dibuka kepada pengguna,” katanya.

Tambah beliau, para pengguna dinasihatkan merancang perjalanan mereka atau menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh tersebut.

“PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pelanggan lebuh raya, dengan semangat #KitaJagaKita, kerjasama tersebut berupaya menjadikan perjalanan yang lancar untuk semua pelanggan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN