Fahaman 'Ratu Nur Putri Ratu Balqis' sedang disiasat

Fahaman ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’ sedang disiasat

MOHD. Fared Mohd. Khalid (kanan) meninjau tiga unit lif awam yang rosak sejak Januari lalu di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menyiasat dan menyelidik fahaman dibawa ibu tunggal yang dikenali sebagai ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’ sebelum sebarang fatwa dikeluarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, selain fatwa, sekiranya benar terdapat unsur ajaran sesat atau menyimpang dari agama Islam, pendakwaan undang-undang akan dibuat terhadap wanita itu.

“Kita perlukan penyelidikan kerana bila ada satu ajaran baharu muncul, lagi pula klip pertama yang kita dapat adalah 26 Mac dan sekarang baru 10 April, maka Bahagian Penyelidikan sedang menyediakan pelaporan akhir.

“Bahagian Penyelidikan nanti akan hantar laporan kepada Jabatan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa pula akan berurusan, memang mengambil masa sedikit. Saya yakin jika benar ajaran ini menyimpang, tindakan pendakwaan akan dibuat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor di sini, hari ini.

Mohd. Fared berkata, ajaran atau fahaman wanita bernama Nurul Huda Mohd. Bajuri berusia 49 tahun itu, kali pertama ia dikesan adalah pada 2018.

“Dia sudah muncul dari 2018 lagi namun siasatan awal ketika itu tiada kes untuk diteruskan atau pun siasatan ketika itu tidak menjurus kepada pendakwaan.

“Bagaimanapun, apabila kes dia ini berulang dan pada kali ini nampaknya lebih ligat termasuk mendakwa dirinya adalah ‘Ruhul Qudus’ dan ‘Raja Muhammad anak Aminah’, itu jauh menyongsang.

“Jadi dari situlah tindakan bersepadu dengan polis sudah buat dan pertuduhan sudah pun dibuat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bahagian polis sudah selesai,” katanya.

Selasa lalu, seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap institusi Diraja melalui platform media sosial, akhir bulan lalu di hadapan Hakim, Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di TikTok dan Instagram menggunakan akaun bernama Ratu Putri Ratu Balqis dengan niat untuk mengganggu orang lain dimana kesalahan itu disedari pihak ketiga di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak Susur 7, pada pukul 4 petang, 27 Mac lalu.

Atas kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya selain boleh juga dikenakan denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 8 Mei untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN