KUALA LUMPUR: Polis mengesyaki pemain industri dalam pemprosesan sisa elektronik (e-waste) merupakan pihak yang sama terlibat dalam aktiviti pemprosesan bahan itu secara haram.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, menerusi serbuan Op Hazard 3.0 yang dijalankan turut mendapati aktiviti haram itu juga telah dimonopoli pihak pemain industri berkenaan.
Katanya, selain itu, siasatan juga mendapati ada premis yang mempunyai lesen untuk tujuan lain sebelum mereka membawa masuk sisa e-waste kilang untuk diproses.
“Sindiket ini juga ada yang membuat pengisytiharan palsu semasa kontena dibawa masuk sebelum sisa e-waste diproses semula menjadi timah, emas dan tembaga.
“Produk akhir yang diproses itu kemudian akan dieskport semula ke luar negara. Siasatan juga mendapati sisa e-waste ini dibawa masuk dari seluruh dunia,” katanya pada sidang di Bukit Aman di sini hari ini.
Sementara itu, kata Mohd. Khalid, hasil 110 serbuan Op Hazard 3.0 yang dijalankan sebanyak 42 kilang haram telah dikesan menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik e-waste.
“Daripada kilang haram yang dikenal pasti ada yang pernah diserbu sebelum ini menerusi Op Hazard 1.0 dan Op Hazard 2.0.
“Kebanyakannya premis dikendalikan oleh warga tempatan namun ada juga beberapa premis dikendalikan warga asing,” katanya.
Katanya, polis ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk aktiviti haram yang mengancam keselamatan negara, kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar tidak akan dikompromi.
“Sehubungan itu, polis menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram e-waste,” katanya. – UTUSAN








