JOHOR BAHRU: Industri tanaman nanas negara kekal kukuh meskipun berdepan penurunan permintaan eksport susulan konflik geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, situasi itu bagaimanapun tidak menjejaskan keseluruhan industri kerana permintaan domestik terus stabil dan menyumbang kira-kira 60 peratus daripada pengeluaran nanas negara.
Beliau mengakui ketidaktentuan ekonomi global serta krisis tenaga memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan termasuk peningkatan kos penghantaran dan input pertanian seperti baja serta racun.
“Kenaikan harga minyak dunia menyebabkan kos logistik meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada sektor eksport. Malah, rantaian bekalan turut berdepan risiko gangguan sekiranya konflik berpanjangan.
“Namun, nanas bukan makanan ruji seperti beras atau gandum, sebaliknya komoditi bernilai tinggi yang menjadi sumber pendapatan kepada pekebun kecil dan usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sheikh Umar berkata, kekuatan permintaan tempatan, membantu menstabilkan harga walaupun pasaran eksport dijangka terjejas.
“Industri nanas Malaysia tidak bergantung kepada satu pasaran eksport sahaja sebaliknya telah diperluaskan ke pelbagai negara seperti China, Jepun, Korea, Singapura, Australia, New Zealand dan pengimport tradisional Singapura.
“Kepelbagaian pasaran ini memberi kelebihan strategik. Sekiranya satu pasaran terjejas akibat konflik atau peningkatan kos logistik, pasaran lain masih boleh menjadi alternatif. Justeru, industri nanas Malaysia dilihat lebih berdaya tahan (resilient) berbanding sektor yang terlalu bergantung kepada satu destinasi eksport,” katanya. – UTUSAN










