JOHOR BAHRU: Seramai 180,000 pelancong dari Johor dan Singapura disasarkan mengunjungi Kedah dan Langkawi sepanjang musim cuti persekolahan pertengahan tahun ini, sekali gus merancakkan sektor pelancongan domestik.
Pengurus Bahagian Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Azmil Munif Mohd. Bukhari berkata, sasaran itu didorong perubahan trend pelancong yang kini lebih cenderung memilih destinasi dalam negara berikutan faktor keselamatan global.
Katanya, penganjuran sesi libat urus membantu pemain industri pelancongan tempatan serta Singapura mengadakan kerjasama profesional yang lebih tersusun.
“Sasaran kita tahun ini adalah untuk menarik kehadiran 100,000 pelancong dari Johor dan 80,000 dari Singapura untuk meneroka keindahan alam melibatkan lebih 70 lokasi di Langkawi dan Kedah.
“Kita membawa 16 pemain industri dari Langkawi dan Kedah untuk mempromosikan kawasan tarikan pelancong dengan lebih dekat. Sasaran ini mampu dicapai dengan adanya penerbangan terus dari Johor dan Singapura ke Langkawi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus B2B di Hotel Grand Paragon, di sini semalam.
Tambahnya, selepas terjadinya ketegangan di Asia Barat, LADA bersama Tourism Kedah giat mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan pilihan buat rakyat Malaysia.
“Selepas ini, kita akan lancarkan program khusus untuk pelancong domestik iaitu Langkawi Special Deal di mana pengunjung dapat menikmati 70 peratus diskaun bagi produk terpilih. Ini kita akan lancarkan dalam masa terdekat.
“Pada masa sama, kita turut berharap penerbangan terus dari Dubai, Emeriyah Arab Bersatu ke Langkawi yang terhenti sementara Akibat perang Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran dapat disambung semula,” katanya.
Mengenai kesan kenaikan harga diesel di pasaran, katanya, majoriti pemain industri belum lagi menaikkan harga pakej pelancongan dan berusaha untuk mengimbangi kos tersebut. – UTUSAN










