Kepemimpinan Ismail Sabri perlu selesai tiga perkara

Ismail Sabri perlu selesaikan tiga perkara – KJ

KHAIRY Jamaluddin ketika mengadakan lawatan PPV Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz di SMK Seri Pagi, Senawang, Seremban, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menangani pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi negara dan kestabilan politik merupakan tiga perkara penting yang menjadi harapan rakyat untuk diselesaikan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, paling diutamakan adalah untuk memastikan kestabilan politik dapat berlaku supaya dua matlamat lain dapat dicapai.

“Saya rasa tiga perkara penting adalah untuk menangani pandemik dan kesihatan awam, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan politik supaya tidak berlaku kerajaan yang tumbang sekali lagi selepas ini sehinggalah kita mengadakan pilihan raya umum nanti.

“Kestabilan politik sangat penting untuk kita mencapai dua matlamat yang pertama iaitu pemulihan pandemik dan pemulihan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi, Senawang,dekat sini hari ini.

Sementara itu, Khairy yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berharap, Ismail Sabri dapat diberikan ruang bagi memimpin negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 yang dihadapi sekarang selain mengukuhkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Beliau ada pengalaman yang luas menerajui beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pertanian malah beliau juga telah bertanggungjawab selama satu tahun lebih menyelaraskan respons bagi pandemik Covid-19. 

“Jadi kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang berpengalaman yang luas, sokongan politik yang baik dan jitu daripada semua parti-parti dibawah Barisan Nasional (BN) Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, perkembangan program vaksinasi itu ketika ini amat baik namun terdapat beberapa negeri yang masih lagi belum mencapai tahap tinggi pemberian vaksin. 

“Perkembangan program itu baik bagaimanapun terdapat beberapa negeri belum berada di tahap tinggi dan usaha sedang dilakukan. 

“Saya yakin sesiapa sahaja yang menerajui PICK akan memastikan dapat mencapai sasaran,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN