SEREMBAN: Polis mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun beberapa kelonggaran aktiviti diberikan termasuk bagi negeri yang masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, aktiviti penguatkuasaan masih dijalankan polis bersama beberapa agensi lain.
Sehubungan itu, kata beliau, jika mana-mana individu didapati mengabaikan SOP yang ditetapkan, tindakan kompaun akan diambil.
“Saya ingin memberi nasihat bahawa Covid-19 ini adalah musuh yang tidak nampak, walaupun kelonggaran diberikan tetapi tidak bermaksud virus ini telah berakhir. Kerajaan telah beri kelonggaran tetapi saya harap kerjasama diberikan bagi memastikan keselamatan diri, pastikan pelitup muka dipakai, penjarakan dibuat.
“Penguatkuasaan terus dijalankan. Mana-mana didapati melanggar Akta 342, kita ambil tindakan kompaun, semua agensi akan terlibat termasuk polis sebagai agensi penguat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas Program Misi Prihatin Covid-19 (Siri 2) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini.
Program tersebut dianjurkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab MySarawak dan Perwira Malaysia dan syarikat-syarikat penaja bagi menyampaikan barangan makanan kepada individu memerlukan di daerah ini.
Sebanyak 160 bungkusan makanan diserahkan secara pandu lalu hari ini antaranya kepada Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, penduduk Flat Sri Mawar dan Flat Jasmin, Senawang.
Sementara itu, Mohd. Said berkata, sekatan jalan raya (SJR) berjalan seperti biasa dan orang ramai tetap memerlukan permit daripada polis sekiranya ada perkara penting untuk merentas daerah dan negeri.
“Polis belum menerima sebarang arahan untuk memberhentikan SJR, ia masih berjalan lagi seperti biasa.
“Pergerakan orang ramai masih lagi dikawal dan mereka masih lagi memerlukan permit polis jika ada perkara penting,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE