Hamzah gesa sidang khas Parlimen tangani krisis diesel

Hamzah gesa sidang khas Parlimen tangani krisis diesel

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa membentangkan pelan kontingensi nasional serta memanggil sidang khas Parlimen dengan segera susulan kenaikan mendadak harga diesel yang kini melebihi RM6 seliter.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang duduk semeja dalam mencari penyelesaian terbaik demi mengurangkan beban rakyat.

Menurut beliau, kenaikan harga diesel secara mendadak akan mencetuskan kesan berantai terhadap kos sara hidup termasuk peningkatan kos pengangkutan, harga barang dan makanan, perumahan, utiliti serta pendidikan.

“Jika kita lihat negara jiran seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia, mereka mampu mengawal kenaikan harga diesel dengan lebih baik.

“Justeru, perkara ini wajar dibincangkan supaya rakyat dapat sedikit kelegaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, tidak dinafikan faktor geopolitik seperti konflik di Asia Barat memberi kesan terhadap kenaikan harga bahan api.

Bagaimanapun, katanya, apa yang kurang dijelaskan ialah Malaysia turut memperoleh keuntungan besar daripada penjualan gas asli cecair (LNG) yang mencecah lebih RM40 bilion setahun, malah pernah melebihi RM50 bilion.

“Apabila harga minyak meningkat, keuntungan ini juga dijangka bertambah.

“Oleh itu, dalam situasi krisis seperti ini, kerajaan perlu mencari mekanisme yang berkesan bagi membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa majoriti rakyat tidak terjejas, sebaliknya menggesa kerajaan melihat realiti sebenar yang dihadapi rakyat di lapangan.

Menurutnya, sektor pertanian antara yang paling terkesan memandangkan penggunaan diesel melibatkan jentera membajak, menuai serta sistem pengairan.

“Ada pesawah yang meluahkan kebimbangan sehingga bertanya, ‘Adakah kami perlu berjuang untuk menjadi lebih miskin?’

“Jika pesawah tidak lagi mampu meneruskan penanaman padi, negara akan bergantung kepada import beras yang berkemungkinan lebih mahal, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memperluaskan bantuan seperti BUDI individu dan BUDI Agri dengan menaikkan had pendapatan supaya lebih ramai golongan terkesan termasuk penjaja dan peniaga kecil dapat dibantu.

Katanya, kerajaan perlu bertindak segera dengan membentangkan pelan kontingensi nasional serta memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan langkah menyeluruh dalam menangani krisis tersebut.

“Langkah ini dapat membantu lebih ramai golongan terkesan seperti penjaja dan peniaga kecil.

“Jangan berlengah lagi. Saya menyeru semua pemimpin negara agar mendengar suara rakyat dan segera bertindak demi kesejahteraan bersama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN