PETALING JAYA: Pegawai awam yang melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) diwajibkan mendaftar kehadiran setiap satu jam melalui Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) bagi memastikan pemantauan berkesan oleh ketua jabatan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, tempat bekerja pegawai semasa BDR hanyalah di kediaman yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).
Menurut beliau, penggunaan SPOT-Me membolehkan perekodan kehadiran dilakukan melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih, sekali gus memastikan pegawai berada di lokasi yang diluluskan.
“Pegawai hendaklah mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam, manakala ketua jabatan bertanggungjawab memantau keberadaan serta pegawai,” katanya dalam pekeliling hari ini.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan BDR turut ditetapkan mengikut hari bekerja mingguan di setiap negeri.
“Bagi negeri-negeri di mana Hari Kelepasan Mingguan (HKM) adalah hari Ahad BDR adalah pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari. Tidak dibenarkan BDR pada Isnin dan Jumaat.
“Bagi negeri-negeri di mana HKM pada han Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu) BDR adalah pada Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari.Tidak dibenarkan BDR pada Ahad dan Khamis,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hanya pegawai yang memenuhi syarat tertentu layak untuk melaksanakan BDR.
“Antara syaratnya ialah pegawai yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri, selain jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer,” katanya. – UTUSAN










