BALING: Nenek kepada dua beradik yang memiliki sepasang mata biru mengakui mereka adalah keturunan Melayu jati dan tidak mempunyai campuran darah bangsa lain yang bermata biru.
Siti Aishah Ismail, 75, berkata, dia difahamkan sejak lima keturunan lagi terdapat dalam kalangan ahli keluarganya mempunyai sepasang mata biru dan ada juga yang mempunyai mata yang berlainan warna.
“Seperti yang diceritakan oleh arwah ibu, Som, nenek saya, Fatimah, juga bermata biru, tetapi ia tidak sejernih warna mata anak kedua saya, Ahmad Zailani Dolah, 51, dan dua anaknya, Umi Aqilah, 18 dan Mohamad Safwan,12.
“Ibu saya dan saya juga bermata biru tetapi tidak sejernih mata Ahmad Zailani dan anak-anaknya, namun, saya anggap ia adalah anugerah Allah yang amat berharga dan unik,” kata Siti Aishah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenerai, Mukim Siong, di sini semalam.
Menurutnya, selain keluarganya, cucu arwah abang sulungnya, Abdul Hassan Ismail, 80, dan anak adiknya, Abdul Razak Ismail, 60, juga mempunyai mata biru tetapi hanya sebelah sahaja.
Katanya, kedua-dua cucu saudaranya itu mempunyai sebelah mata biru dan sebelah lagi berwarna hitam manakala seorang lagi bermata biru dan perang.
“Tiga anak saya yang lain iaitu Ahmad Tarmizi, 53, Siti Hajar Dolah, 47, dan Mohd. Ghazali, 44, serta anak-anak mereka semuanya bermata normal, cuma Ahmad Zailani dan dua anaknya sahaja mempunyai sepasang mata biru.
“Saya bersyukur kerana keadaan kesihatan Ahmad Zailani, Umi Aqilah, Mohamad Safwan dan cucu-cucu saudaranya dalam keadaan baik dan sihat.
“Cuma Umi Aqilah sahaja mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan tetapi keadaannya biasa sahaja seperti orang lain yang normal,” kata Siti Aishah. – UTUSAN











