PUTRAJAYA: Usaha penyelidikan berterusan dalam bidang klinikal mampu memulihkan semula gaya hidup manusia seperti keadaan sebelum wabak Covid-19 muncul.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama kajian pelbagai pihak itu turut menjadikan bidang berkenaan maju seiring keperluan semasa.
“Penyelidikan Covid-19 perlu dilakukan secara berterusan bagi membantu kita memahami penyakit dan kemudian dapat menambah baik isu pengurusan penjagaan kesihatan awam,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (NCCR) ke-14 secara maya hari ini bertemakan ‘Pelarasan kepada Norma’.
Noor Hisham berkata, persidangan kali ini menumpukan aspek kemajuan kajian pandemik selepas lebih setahun dunia berdepan dengan cabaran Covid-19, apatah lagi jumlah kes kini melonjak tinggi akibat varian baharu yang memerlukan penyelidikan klinikal lebih hebat.
Namun, beliau optimis kajian semasa mampu menambah baik pengurusan penjagaan klinikal terutama penggunaan digital seperti aplikasi MySejahtera bagi membentuk data raya wabak selain dapat membantu pihak berkuasa membendung penularan lebih teruk apabila dapat menjejak kontak dan kuarantin kendiri secara jarak jauh.
Begitu juga kata beliau, kemampuan aplikasi itu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang membekalkan rekod vaksinasi populasi lebih jitu dalam masa sebenar sekali gus membuktikan keupayaan penyelidik negara berfikir lebih kreatif tanpa memerlukan kos besar tetapi dapat menangani penularan wabak lebih cekap.
“Justeru, saya menyeru lebih ratusan peserta acara ini memanfaatkan perbincangan bagi bertukar idea dan membaiki mutu kesihatan awam agar hidup kita kembali normal semula,” katanya.
Beliau memberi contoh kejayaan penyelidikan klinikal Malaysia yang mencipta kit diagnosis pantas Hepatitis C membantu banyak negara miskin membasmi penyakit itu.
Beliau juga gembira apabila hampir 200 penyertaan diterima untuk pencalonan anugerah berprestij Dr. Wu Lien-Teh yang menunjukkan sambutan baik kalangan ramai saintis tempatan. – UTUSAN ONLINE










