PUTRAJAYA: Purata pemberian vaksin Covid-19 harian di seluruh negara pada bulan lalu adalah 398,843, iaitu meningkat sebanyak 136 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Perkembangan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara yang melaksanakan agihan vaksinasi terpantas berbanding negara lain di seluruh dunia.
Ia dibuktikan berdasarkan laporan agensi berita antarabangsa, Reuters baru-baru ini selepas Malaysia diiktiraf sebagai negara terpantas melaksanakan vaksinasi berdasarkan purata vaksinasi harian sebanyak 1,446 dos bagi setiap 100,000 penduduk sejak tujuh hari lalu.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 12,449,975 suntikan dos diberikan di seluruh negara sepanjang bulan lalu.
“Dengan rekod kadar vaksinasi harian yang konsisten mencecah 500,000 sepanjang minggu lepas, kadar vaksinasi negara terus meningkat dan sehingga hujung minggu lalu, kita menyuntik lebih 20 juta dos vaksin kepada populasi Malaysia.
“Kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini adalah pada 29 Julai lalu iaitu sebanyak 556,404 suntikan dos sehari. Purata pemberiaan suntikan vaksin sepanjang tujuh hari lepas juga terus meningkat ke 533,832 berbanding pada minggu sebelumnya 423,265 iaitu sebanyak 26 peratus,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Khairy berkata, setakat semalam, Malaysia menerima sebanyak 28,154,280 dos vaksin.
Beliau berkata, penghantaran bekalan vaksin seterusnya yang dijadualkan tiba minggu ini termasuk dari Pfizer iaitu sebanyak 1,800,630 dos.
Katanya, setakat ini, negara sudah menerima 11,341,980 dos Pfizer, 14,400,000 dos Sinovac dan 2,412,300 dos AstraZeneca.










