PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan bahawa sekarang merupakan masa terbaik untuk semua parti politik mengetepikan perbezaan masing-masing.
Dalam catatan blognya, Kit Siang berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempersulit keadaan semasa undi percaya dibentangkan di Parlimen seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim jika dasar yang dibawa Perdana Menteri dilihat pro-rakyat dan berkesan dalam melawan wabak Covid-19.
“Kita mungkin berada di kerusi pembangkang, namun apabila negara berdepan krisis, semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, wilayah atau politik harus bersatu supaya negara dapat mengharungi cabaran ini.
“Saya teringat semula seruan saya pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-30 pada 1987, di mana saya menyeru supaya pemimpin tertinggi politik mengadakan perbincangan untuk menurunkan suhu perkauman di negara ini supaya tumpuan boleh diberikan untuk memulihkan ekonomi negara.
“Ini adalah masanya untuk semua parti-parti politik menunjukkan bahawa apa pun perbezaan politik yang ada, mereka tetap bersedia untuk mengetepikan semua itu demi memastikan matlamat bersama tercapai iaitu untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 supaya Malaysia boleh beralih ke fasa pemulihan negara dan ekonomi,” katanya.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berpendapat sedemikian kerana menganggap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan dengan empat ujian besar ketika ini.
“Semalam, kita melepasi paras 1.6 juta untuk jumlah kumulatif kes Covid-19. Hari ini, kita bakal melepasi paras 15,000 untuk jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19. Mampukah kita mengurangkan kes harian baharu Covid-19 untuk tidak melepasi paras 1.7 juta pada Hari Kemerdekaan ke-64 pada 31 Ogos?
“Mampukah kita mengurangkan kes kematian akibat Covid-19 untuk mengelakkan negara mengumpulkan lebih 16,000 kes kematian menjelang Hari Kemerdekaan ke-64?” soalnya.
Katanya, Ismail Sabri juga berdepan ujian untuk mengurangkan kes harian baharu untuk mengelakkan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak tersebut melepasi paras 2 juta pada Hari Malaysia ke-58 pada 16 September dan ujian keempat adalah mengelakkan negara melepasi paras 19,000 untuk jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 pada Hari Malaysia ke-58.
Jelasnya, perkara itu penting kerana Malaysia telah menjadi negara nombor satu di ASEAN untuk dua hari berturut-turut yang mempunyai kes harian baharu Covid-19 tertinggi, menewaskan Indonesia dan Filipina.
“Kita mempunyai 20,839 kes baharu Covid-19 pada 24 Ogos dan 22,642 kes baharu pada 25 Ogos, berbanding Indonesia yang mempunyai 19,100 dan 18,671 kes baharu untuk kedua-dua hari tersebut dan Filipina yang mempunyai 11,891 dan 13,573 kes baharu untuk kedua-dua hari yang sama.
“Malah, kita mempunyai kes harian baharu Covid-19 yang lebih tinggi berbanding Indonesia untuk 10 hari berturut-turut. Itulah sebabnya faktor masa memainkan peranan begitu penting dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya.
Tambahnya, sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021, terdapat 212,345 kes Covid-19 dan 2,308 kes kematian akibat wabak itu.
“Sekarang adalah waktu genting yang memerlukan tindakan pantas dan Ismail Sabri harus segera berusaha untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN










