PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 256 ditahan dengan seramai 219 dikompaun manakala 37 lagi direman.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 60 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati masih ingkar SOP.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,620 kilang, 16,873 premis perniagaan, 467 tapak pembinaan dan 166 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tujuh pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sembilan kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain menjalankan 918 sekatan jalan raya di seluruh negara.
Menyentuh kuarantin wajib, katanya, 690 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 268,609 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.
“Sejumlah 10,053 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 493 peruncit, 162 pemborong dan 33 pengilang termasuk melakukan sejumlah 3,681 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE