KOTA BHARU: Hampir 150 peniaga batik dan kraf di Bazar Buluh Kubu di sini, akan berpindah ke tempat baharu selama tiga tahun untuk menjalankan perniagaan sementara menunggu proses naik taraf bangunan tersebut pada tahun ini.
Presiden Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata, kebanyakan peniaga yang sudah beroperasi di bazar berkenaan antara tempoh 20 hingga 40 tahun akan berpindah ke sebuah bangunan pasar raya yang tidak beroperasi di bandar ini.
Katanya, setakat ini, kerja pengubahsuaian melibatkan lot kedai dalam bangunan tersebut sedang dilakukan termasuk kos lain yang perlu ditanggung peniaga sendiri.
“Justeru itu, kita berharap sangat Kerajaan Persekutuan dan negeri turut membantu bagi mengurangkan beban peniaga. Kos sewa di tempat baharu juga meningkat kerana berada di dalam bangunan yang mempunyai pendingin hawa. Keadaan itu menyebabkan ada dalam peniaga memilih untuk menyewa di tempat lain,” katanya pada sidang akhbar di Bazar Buluh Kubu hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, langkah Kerajaan Pusat menaik taraf bangunan bazar tersebut adalah wajar kerana bangunan berkenaan sudah lama, selain banyak struktur yang rosak seperti lantai yang pecah, bocor, tiada kemudahan untuk orang kurang upaya, lif yang tidak berfungsi sejak sekian lama dan lain-lain. – UTUSAN










